Tuesday, January 31, 2012

Jangan Gaduh

Jangan Melampau Jika Bertelingkah, Itu Dibenci Allah
Oleh Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Sabda Rasulullah s.a.w, “Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Cuba memuhasabah diri sendiri dan melihat kepada perjalanan masyarakat Islam. Dalam hadis ini Nabi s.a.w memberitahu kita bahawa Allah teramat benci manusia yang apabila berbalah, dia melampaui batas. Menolak apa yang benar hanya semata ingin menegakkan hujah yang dia sendiri tahu telah tersasar dari kebenaran. Berkeras kepala dengan hujah sendiri lalu berusaha menegakkan benang yang basah.

Allah amat benci orang yang seperti ini. Inilah juga tabiat munafik yang disifat oleh al-Quran (maksudnya), “Dan di antara manusia ada mengkagumkan engkau tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, dan dia bersaksikan Allah (bersumpah dengan mengatakan bahawa Allah), padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu Muhammad).” (Surah al-Baqarah: 204). Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w menyebut ciri manusia munafik itu empat, salah satunya: “Apabila dia berbalah, dia jahat”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maksudnya untuk menang dalam perbalahan, seorang munafik tidak kira apa pun caranya dia sanggup menyelewengkan fakta, menipu hakikat, mengelirukan orang ramai, menghalalkan cara dan apa sahaja watak sekalipun jahat akan digunakan dalam memenangkan diri. Inilah (sifat) seorang munafik. Inilah orang jahat. Inilah orang yang amat dibenci oleh Allah (orang munafik).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...